mutakhir

DOJ pulangkan dana 1MDB, AS$4.5 bilion - PM

Oleh Sharanjit Singh

JABATAN Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) akan mengembalikan wang diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, ia membabitkan jumlah kira-kira AS$4.5 bilion (RM18.8 bilion), merangkumi wang yang diperoleh bank pelaburan Amerika Syarikat (AS), Goldman Sachs menerusi penerbitan bon.

“Pemulangan wang ini akan mengambil sedikit masa kerana ia perlu melalui beberapa proses tertentu.

“Mereka (DOJ) bukan sekadar mengambil duit itu dan serahkan di kaunter kepada kamu. Tetapi mereka sudah berjanji untuk kembalikan wang itu,” katanya.

Dalam satu temubual bersama CNBC International semalam, Dr Mahathir berkata, Goldman Sachs menipu Malaysia dalam urusannya dengan 1MDB.

DOJ sebelum ini dilaporkan berkata, kira-kira AS$4.5 bilion diseleweng daripada 1MDB, termasuklah sebahagiannya yang diperoleh Goldman Sachs antara 2009 hingga 2014.

Perdana Menteri berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN di Singapura, hari ini.

Ditanya sama ada beliau yakin untuk mendapatkan semula keseluruhan wang yang diseleweng itu, Dr Mahathir berkata: “Kami harap begitu tetapi kebanyakan daripada wang itu mungkin sudah hilang.”

Mengenai sama ada Malaysia akan mengambil tindakan lanjut terhadap Goldman Sachs, Perdana Menteri berkata segala keputusan dan tindakan akan dilakukan berlandaskan kedaulatan undang-undang.

“Jika undang-undang mengatakan seseorang itu melakukan jenayah, maka individu itu perlulah dihukum sewajarnya.

“Tidak kiralah sama ada Goldman Sachs atau sesiapa saja. Jika ada bukti mencukupi bahawa mereka melanggar undang-undang, kita akan mengambil tindakan. Ia bukan soal balas dendam,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 8:20pm
d