mutakhir

'Bila aku sudah tiada...'

Oleh Noor Hidayah Tanzizi

“SETIAP hari saya fikir bagaimana mereka bertiga nanti jika saya sudah tiada, risau sungguh lebih-lebih lagi mereka belum tahu membaca dan menulis,” kata Halimah Mat.

Ibu tunggal berusia 54 tahun itu berkata, dia bimbang dengan masa depan tiga anaknya, Nurmaya Hanilah Shaferi, 12; Khairilzawadi, 15 dan Norjihan, 18, yang juga orang kurang upaya (OKU) kategori masalah pembelajaran.

Menurutnya, dia dan tiga anaknya itu tinggal bersama seorang lagi anak perempuannya, Mas Ayu, 27, di rumah bantuan diberikan pihak Baitulmal manakala dua lagi anaknya sudah berkahwin dan tinggal berasingan.

“Khairilzawadi dan Norjihan sudah tidak bersekolah. Nurmaya Hanilah pula belajar di kelas pendidikan khas. Ketiga-tiga mereka belum pandai membaca dengan lancar.

“Itu membuatkan saya risau memikirkan masa depan mereka kerana kami tiada harta, hanya ada rumah bantuan ini dan empat basikal.

“Sekarang semua urusan termasuk mengisi apa-apa borang akan dibuat Mas Ayu, nasib baik dia pandai membaca dan menulis biarpun berhenti sekolah pada darjah lima,” katanya ketika ditemui di rumahnya Kampung Padang Changkat Pulau, Air Mati, Bota, hari ini.

Dia ditemui pada ziarah kasih aktivis sosial, Rohaidatul Asma Jusoh dan wakil Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Lakeville Hill City Seri Iskandar yang menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan wang kepada keluarga berkenaan.

Halimah yang kematian suami, Shaferi Pandak Samad, 81, sejak setahun lima bulan lalu berkata, dua anak lelakinya itu ada mencari kerja untuk membantu keluarga, namun belum memperoleh sebarang pekerjaan menyebabkan dia menyuruh anaknya menanam pisang di tepi rumah supaya buahnya nanti boleh dijual.

“Kami hidup serba kekurangan, kadang-kadang jika terputus bekalan makanan saya suruh anak berpuasa dan jika gas habis kami masak guna kayu api buat sementara.

“Bagaimanapun semua itu saya tak bimbang sangat sebab terima bantuan daripada Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, malah dua anak yang sudah berkahwin pun ada membantu dan saya tak mahu susahkan mereka kerana masing-masing ada tanggungan.

“Apa yang lebih saya bimbangkan masa depan anak sahaja terutama tiga anak OKU itu dan sentiasa berharap mereka dapat hidup berdikari,” katanya.

Disiarkan pada: November 13, 2018 @ 11:41pm
d