mutakhir

Lemas dalam parit

Oleh Ruwaida Md Zain

KANAK-KANAK berusia 12 tahun ditemui lemas di sebuah parit di Jalan Pinang, Batu 8, Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, di Banting pada 2.40 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superintendan Kamalariffin Aman Shah berkata, mangsa Muhammad Effizul Idham Fidaus, murid Tahun Enam Sekolah Rendah Kebangsaan Telok Panglima Garang ditemui orang awam yang melalui kawasan terbabit.

"Polis menerima panggilan telefon daripada orang awam yang menemui budak lelaki terapung di dalam parit di situ.

"Siasatan dan pemeriksaan pada fizikal tubuh mangsa mendapati tiada dijumpai sebarang kesan kecederaan.

"Polis turut menjumpai basikal dan baju kemeja-T dipercayai kepunyaan mangsa berhampiran tempat kejadian.

"Polis juga mendapati di kiri kanan parit adalah kebun kelapa sawit, manakala di tepinya ada satu kolam," katanya.

Kamalariffin berkata, siasatan juga mendapati orang awam ternampak dua hingga tiga orang budak mandi di kawasan terbabit sebelum kejadian berlaku.

"Pada awalnya tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat simati, bagaimanapun berpandukan kepada basikal dan kemeja-T baju sukan nama sekolah Sek Keb Telok Panglima Garang, identiti mangsa dikenal pasti oleh guru sekolah terbabit, manakala ibu mangsa yang dihubungi mengesahkan mangsa adalah anaknya.

"Proses bedah siasat yang dijalankan di Hospital Banting mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas," katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan polis sedang mengesan rakan si mati yang ada ketika kejadian terbabit untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Andalas, A Romzi Abu berkata, pihaknya tiba di lokasi pada 3 petang dan mengambil masa kira-kira 35 minit mengangkat mangsa ke atas.

"Operasi diketuai Komander Operasi, Mohd Faizal Samsudin bersama empat anggota bergegas ke tempat kejadian selepas dihubungi pihak polis.

"Kami mendapati terdapat mayat seorang kanak-kanak lelaki terapung di dalam parit.

"Anggota membantu pihak polis mengangkat mangsa ke tebing, mangsa seorang remaja lelaki berusia lingkungan 12 tahun, " katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2018 @ 8:48am
d