mutakhir

Suspek bunuh Kamala, rakan didakwa

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

LELAKI dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas dua pertuduhan membunuh dua kenalannya, awal bulan ini.

Tertuduh, M Jaykumar, 32, faham akan kedua-dua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Azureen Sahira Sauffee Afandi.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang bekerja di Singapura itu.

Berdasarkan kedua-dua kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan bunuh menyebabkan kematian S Silvaraja, 59 dan K Kamala, 51 di rumah No 03-13, Blok 11, Flat Jalan Hang Jebat 14, Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di Johor Bahru, 9.35 pagi, 1 November lalu.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 31 Disember ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, asid deoksiribonukleik (DNA) dan forensik.

Awal bulan ini, media melaporkan kejadian bunuh itu yang mana Kamala dan Silvaraja ditemui mati dengan kesan tetakan dan kelar di rumah berkenaan.

Mayat wanita berkenaan yang bekerja sebagai tukang cuci di Singapura ditemui di bilik tidur dengan kesan tetakan di bahagian belakang badan, manakala mayat lelaki terbabit pula ditemui di bahagian ruang tamu di kediaman milik Kamala dengan kesan kelar.

Berita berkaitan

Kes bunuh tukang cuci, rakan lelaki selesai

[UPDATE] Dua lelaki ditahan bantu siasatan kes bunuh

Suspek kes bunuh ibu tunggal, rakan lelaki, ditahan

Menggigil terima panggilan....

Ibu tunggal, lelaki mati ditetak [METROTV]

Disiarkan pada: November 14, 2018 @ 1:28pm
d