mutakhir

Kabinet: PKR kekal status quo

Oleh Nur Lela Zulkipli

“TIADA sesiapa dalam PKR memaklumkan kepada saya mengenai keperluan mengubah atau menghantar nama baharu,” kata Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau tidak menerima cadangan nama daripada mana-mana pihak untuk diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi tujuan rombakan Kabinet.

Beliau yang dijangka sah bergelar Presiden PKR menjelang kongres nasional parti itu hujung minggu ini berkata, pendirian berhubung kedudukan Ahli Parlimen PKR dalam Kabinet tidak berubah.

“Oleh itu, pendirian parti buat masa ini tidak berubah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu Anwar berkata, kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober lalu tidak membolehkannya membuat sebarang keputusan dalam isu berkenaan.

“Saya cuma Ahli Parlimen sedangkan rombakan Kabinet adalah soal Perdana Menteri,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir dalam temu bual bersama akhbar Singapura dipetik berkata, sedia merombak Kabinet susulan berakhirnya pemilihan PKR, Sabtu lalu.

Sementara itu Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata pihaknya tidak menyerahkan sebarang nama bagi tujuan rombakan Kabinet.

“DAP tidak menyerahkan nama sesiapa pun. Anda bertanya kepada orang yang salah mengenai rombakan Kabinet,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2018 @ 3:53pm
d