mutakhir

4.03 juta saman AES diputihkan

Oleh Zanariah Abd Mutalib

SEMUA 4.03 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) berjumlah RM605 juta sejak 2012 hingga 31 Ogos lalu sudah dibatalkan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Menurutnya, perkara itu disahkan oleh Pusat Data Bahagian Teknologi Digital, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika lawatan beliau ke pusat itu di Cyberjaya, semalam.

“Saya sudah mendapat kepastian daripada pihak pengurusan pusat data ini bahawa semua saman itu sudah diputihkan daripada sistem.

“Ini bermaksud apa-apa saman AES sebelum 1 September sudah tiada lagi dalam data,” katanya pada sidang media di pusat berkenaan.

Pada 17 Ogos lalu, Loke mengumumkan bahawa kerajaan memutuskan untuk membatalkan semua saman AES yang belum dibayar sejak sistem itu dilaksanakan pada 2012 hingga 31 Ogos 2018.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana perjanjian kerajaan terdahulu berhubung sistem itu berat sebelah dan sebarang kutipan yang akan dibuat tidak mendatangkan hasil kepada dua syarikat pengendali sistem itu.

Selain itu, menurutnya, sejak 1 September hingga 8 November lalu, sebanyak 60,444 saman had laju dan 4,575 saman melanggar lampu isyarat bagi AES dikeluarkan di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, hanya 1,711 saman bagi melebihi had laju dan 167 saman bagi melanggar lampu isyarat sudah dibayar.

“Kita sudah mengarahkan, jika bayaran saman AES tidak dibuat selepas 60 hari, maka proses mahkamah perlu dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1,190 kes saman AES di Kedah, Perak dan Pulau Pinang sejak 1 September lalu sudah pun dibawa ke mahkamah, namun hanya tiga individu saja yang hadir ke mahkamah.

“Jika seseorang itu gagal hadir ke mahkamah, waran tangkap akan dikeluarkan tapi kita tidak akan datang ke rumah untuk tangkap, sebaliknya akan disenarai hitam yang akan menyebabkan mereka tidak boleh memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan sehinggalah bayaran saman AES itu dijelaskan,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2018 @ 4:22pm
d