mutakhir

Bantah keputusan berkaitan PTPTN

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SERAMAI 20 mahasiswa lengkap berpakaian jubah konvokesyen berarak kira-kira 8 kilometer dari Universiti Malaya (UM) ke bangunan Parlimen bagi membantah keputusan baru kerajaan berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) Muhammad Faizuddin Mohd Zai berkata, perarakan bermula pada 10.50 pagi itu disertai mahasiswa dari pelbagai universiti.

Beliau berkata, perarakan itu bertujuan untuk membantah tindakan kerajaan memperkenalkan pembayaran balik dengan cara potongan gaji berjadual antara dua hingga 15 peratus dari pendapatan bulanan peminjam berpendapatan lebih RM1,000.

"Aktivis berhasrat bertemu Menteri Pendidikan Maszlee Malik bagi menyampaikan memorandum empat tuntutan.

"Antaranya ialah menggesa kerajaan mewajibkan pembayaran balik PTPTN ke atas pihak yang mempunyai gaji RM4,000 ke atas," katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhammad Faizuddin berkata, selain itu Gamis menyarankan kerajaan mewujudkan Perbadanan Tabung Wakaf Pendidikan Negara untuk menampung kos pendidikan.

"Selai itu kita menuntut pemotongan gaji menteri, lantikan politik serta pegawai-pegawai tertinggi syarikat berkaitan kerajaan untuk pendidikan pelajar.

"Akhir sekali kami menuntut sekurang-kurangnya 25 peratus daripada belanjawan tahunan negara untuk pendidikan,"katanya.

Menurutnya, bagaimanapun pihaknya gagal bertemu dengan Menteri Pendidikan dan menyerahkan memorandum selepas dihalang anggota polis bertugas.

"Kami sudah berjalan sejauh 9km. Ada antara kami yang tak makan pun lagi... semata-mata untuk bertemu dengan YB Maszlee.

"Tetapi malangnya hari ni kami diminta untuk tunggu di tepi jalan,"katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2018 @ 6:45pm
d