mutakhir

Idris 'ajar' Speaker DUN

Oleh Fairuz Zaidan

PERSIDANGAN Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, hari ini sedikit ‘kecoh’ dan terpaksa ditangguhkan seketika apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron bertindak ‘mengajar’ Yang di-Pertua DUN, Datuk Wira Omar Jaafar berhubung prosedur aturan dewan.

Ia susulan Omar yang bertindak sebagai pengerusi di peringkat jawatankuasa tidak membuka fasal untuk dibahaskan sehingga ditegur beberapa kali oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dari Sungai Udang itu.

Malah, keadaan bertukar ‘hangat’ apabila Ketua Menteri, Adly Zahari dan beberapa wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) cuba tampil untuk membela Omar, tetapi akhirnya terpaksa akur dengan prosedur yang perlu bagi menghormati proses perbahasan rang undang-undang itu.

Idris juga seolah-olah bertindak sebagai ‘Yang di-Pertua’ apabila mengemukakan beberapa prosedur sebelum fasal-fasal dibentangkan dalam rang undang-undang untuk perbahasan yang awalnya tidak disebut oleh Omar.

Keadaan itu membawa kepada penangguhan dewan selama kira-kira 15 minit oleh Omar untuk membetulkan semula perjalanan dewan.

Sementara itu, Idris ketika ditemui selepas kelulusan Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan 2018 berkata, sepatutnya Setiausaha Dewan sudah memaklumkan kepada Yang di-Pertua mengenai perjalanan DUN serta bagaimana prosedur di peringkat jawatankuasa.

“Saya membangkitkannya kerana fasal-fasal di dalam rang undang-undang tidak dibuka untuk perbahasan.

“Ini bertujuan untuk menghormati kewibawaan dewan supaya ia berjalan dengan sempurna. Ini adalah dewan tertinggi negeri, dewan ini perlu ada kewibawaan, tak boleh lihat dewan sebagai jenaka,” katanya.

Mengulas lanjut, Idris berkata tindakannya itu bukan mahu memalukan sesiapa, tetapi tidak mahu DUN Melaka dianggap sebagai jenaka dan tidak berwibawa apabila undang-undang digubal separuh masak.

Disiarkan pada: November 14, 2018 @ 7:29pm
d