mutakhir

Bukan Islam sokong kursus praperkahwinan

Oleh Zarul Fitri Muhd Zamrie dan Ahmad Ajwad Azman

PASANGAN bukan Islam yang hendak berkahwin akan diwajibkan menghadiri kursus praperkahwinan sama seperti pasangan islam di negara ini.

Tinjauan NSTP mendapati orang ramai bersetuju untuk menghadiri kursus berkenaan.

Man Yap Kew, 25, bersetuju supaya pasangan bukan Islam menghadiri kursus praperkahwinan untuk persediaan menghadapi alam rumah tangga.

“Alam perkahwinan amat berbeza dengan kehidupan di zaman bujang justeru melalui kursus ini ia dapat membantu mempersiapkan diri secara mental sebagai persediaan berkeluarga.

Sementara itu Kayshdiip Singh, 23 berkata jika kursus praperkahwinan memfokuskan kesefahaman serta tanggungjawab antara pasangan dalam perkahwinan ini adalah sesuatu yang bagus dan seharusnya dilaksanakan.

“Namun jika intipati kursus ini menyentuh berkaitan isu keagamaan ia sukar dilaksanakan kerana pasangan bukan Islam khususnya berkahwin dengan pelbagai bangsa dan khuatir ini akan menyebabkan percanggahan pendapat.

Sementara itu, Shoban Khan, 25 berkata kerajaan perlu menyelaraskan dahulu kandungan dan garis panduan yang akan digunakan dalam kursus praperkahwinan itu.

“Hal ini adalah kerana sebelum ini hanya pasangan Islam sahaja yang melalui kursus itu jadi jika ianya hendak diwajibkan kepada pasangan bukan Islam kandungan serta garis panduan kursus yang akan digunakan harus dikaji semula supaya sesuai dengan semua pihak.

S Raj Mobin, 23, bagaimanapun tidak bersetuju mewajibkan kursus berkenaan.

“Hal ini akan menambah kepada persiapan yang perlu dibuat sebelum berkahwin di mana seperti yang kita maklum persiapan perkahwinan amat banyak dan rumit justeru ini akan menyusahkan bakal pengantin.

Sebelum ini media melaporkan pasangan bukan Islam di negara ini yang berhasrat mendirikan rumah tangga akan diwajibkan untuk menghadiri kursus praperkahwinan.

Langkah itu bertujuan untuk mengurangkan statistik kes perceraian yang tinggi berterusan di negara ini.

Ketika ini pasangan bukan Islam tidak diwajibkan berbuat demikian oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Disiarkan pada: November 14, 2018 @ 11:56pm
d