mutakhir

'Macam mana nak ganti 'handphone' orang?'

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

“SAYA risau memikirkan bagaimana menggantikan lebih 100 telefon bimbit pelanggan yang sudah siap dibaiki selepas kedai saya terbakar,” kata Ahmad Ikhwan Ghani, 25, pemilik kedai menjual dan membaiki telefon bimbit di Taman Permint Perdana dekat Kampung Batin, Kuala Nerus.

Dalam kejadian 10.50 malam tadi, Ahmad Ikhwan kerugian hampir RM50,000 selepas premis yang disewanya sejak enam tahun lalu terbakar.

Menurutnya, dia baru sahaja menutup kedainya sebelum menerima panggilan daripada jiran memaklumkan kebakaran itu.

“Ketika itu, saya minum di kedai berhampiran yang terletak kira-kira 200 meter dari kedai dan saya bergegas ke kedai sebaik dimaklumkan kebakaran itu.

“Sebaik sampai, api sedang marak menyebabkan saya tidak berani masuk ke dalam premis mengambil telefon-telefon bimbit yang ada termasuk lebih 100 telefon bimbit milik pelanggan.

“Runsing sebenarnya memikirkan telefon bimbit pelanggan yang musnah dalam kebakaran ini apatah lagi sepatutnya esok (hari ini) ada antara mereka akan mengambil telefon bimbit yang dihantar sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Sementara itu, Pegawai Operasi Zon 1 Terengganu, Penolong Penguasa Bomba Zull Azman Jamaludin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran pada 10.53 malam.

Katanya, seramai 21 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu dan Kuala Nerus bersama tiga jentera bergegas ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, kebakaran membabitkan dua premis iaitu kedai menjual dan membaiki telekomunikasi serta sebuah pejabat kosong yang sudah terbakar hampir 20 peratus.

“Kita berjaya mengawal kebakaran pada 11.17 malam, manakala api berjaya dipadam sepenuhnya selepas sembilan minit kemudian.

“Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan dengan punca kejadian dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 10:49am
d