mutakhir

Ecah Cendol tekad balas jasa ibu ayah

Oleh Redzuan Muharam

Kuala Lumpur: Status sebagai anak peniaga cendol bukan halangan untuk Siti Nurul Aisyah Zulzaidi, 21, ke menara gading, malah penuntut Ijazah Sarjana Muda Geografi Universiti Malaya (UM) itu membuktikan dirinya mampu meraih keputusan cemerlang menerusi anugerah dekan yang diterima ketika semester satu dan dua.

Siti Nurul Aisyah yang kini menuntut di semester tiga juga berazam menggenggam ijazah kerana mahu membantu ayah, Zulzaidi Piai, 46, dan ibu, Arlinda Aris, 41, yang membesarkan dia dan tiga adik-beradik hasil pendapatan daripada jualan cendol.

“Sejak berumur enam tahun lagi, saya dan adik-beradik lain membantu ayah dan ibu berniaga di gerai jualan cendol.

“Daripada situ, saya dapat lihat kepayahan ayah dan ibu mencari rezeki untuk membesarkan kami adik-beradik tidak kira ketika panas terik mahupun hujan.

“Sebagai anak, menjadi impian saya untuk membalas jasa mereka dan sebab itu saya nekad menyambung pengajian di peringkat ijazah selepas tamat persekolahan di tingkatan enam,” katanya.

Berkongsi pengalamannya sebagai anak peniaga cendol, Siti Nurul Aisyah berkata, dia pernah dipanggil Ecah Cendol ketika di sekolah.

Namun, dia tidak mengambil pusing kerana menganggap ia sekadar usikan nakal rakan sekelas.

“Pada mulanya saya sekadar membantu ayah dan ibu mengambil pesanan daripada pelanggan.

“Hasil tunjuk ajar mereka, saya akhirnya mahir membuat cendol dan boleh dikatakan manisan terbabit sinonim dengan saya dan disebabkan itu, ada rakan memanggil saya dengan gelaran Ecah Cendol.

“Buat masa ini, ayah tidak lagi aktif berniaga seperti dulu namun saya dan adik-beradik akan meneruskan legasinya dalam perniagaan itu dengan menjadi pembekal cendol,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 12:27pm
d