mutakhir

Simpati untuk Angah

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Sebanyak RM20,000 diperoleh daripada penderma bagi membiayai kos rawatan pesakit empat kanser, Muhammad Fadizrul Azraain Billah Zulkifly, 23, atau Angah sehingga kini.

Bapanya, Zulkifly Mohamed, 55, berkata, wang itu diperoleh menerusi program amal anjuran pelbagai pihak bagi membantu anaknya yang menghidap empat jenis kanser iaitu hidung, hati, paru-paru dan selaput otak.

“Meskipun tidak mengetahui kos sebenar rawatan Angah, tetapi sumbangan tidak pernah putus diterima daripada pelbagai pihak dan ia membantu Angah menjalani rawatan kemoterapi selama lima minggu.

“Sumbangan ini akan digunakan untuk kos rawatannya selain pembelian susu khas dan perbelanjaan tidak dijangka,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurutnya, dana yang diperlukan ketika ini mencukupi sepanjang tempoh lima minggu anak keduanya itu menjalani rawatan kemoterapi bermula hari ini.

“Jika sampel darah diambil Hospital Sultan Ismail (HSI) tidak berdepan masalah, Angah dijangka menjalani sesi rawatan kemoterapi pertama hari sama atau keesokannya,” katanya.

Katanya, tabung amal Program Charity For Angah yang digerakkan anak sulungnya, Muhamad Fadzizrul Azraain Billah, 24, atau Along akan diteruskan.

Mengulas lanjut keadaan Angah ketika ini katanya, ada sedikit perkembangan positif kerana boleh berkomunikasi dengan ahli keluarga walaupun masih lemah.

“Cuma keadaan Angah masih tidak berupaya untuk bangun dan perlu dipapah, selain bergantung kepada susu khas. Angah juga jarang demam berbanding keadaannya sebelum ini,” katanya yang ditemani isteri menjaga anak kedua terbabit.

Keceriaan wajah anak kedua berusia 23 tahun daripada enam beradik itu berubah sepenuhnya apabila terpaksa menanggung kesakitan selepas disahkan menghidap empat penyakit berkenaan pada Mac tahun lalu.

Sejak dikesan menghidap penyakit, Angah menjalani pelbagai rawatan termasuk kemoterapi dan badannya kini semakin lesu selain kehilangan lebih separuh berat badannya daripada 70 kilogram (kg) kepada hanya 30kg.

Orang ramai boleh menyalurkan bantuan itu terus melalui akaun Bank Rakyat atas nama Zulkifly Mohamed 220173-28-4976.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 12:45pm
d