mutakhir

Mereka tak faham intipati ICERD - Menteri

Oleh Luqman Arif Abdul Karim

KERESAHAN segelintir pihak berhubung Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tercetus berikutan kegagalan mereka memahami inti pati cadangan perjanjian itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata, Perlembagaan Persekutuan yang menjadi sandaran utama prinsip perundangan di negara ini tidak menindas mana-mana kaum.

“Ini berdasarkan pengetahuan peribadi saya sebagai seorang peguam dan perkara ini jelas apabila kita rujuk kepada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Ia menyatakan Yang di-Pertuan Agong bertanggungjawab untuk menjaga hak keistimewaan orang Melayu.

“Di fasal 153(2) pula menggariskan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mengikut Perlembagaan ini dan undang-undang Persekutuan mengikut apa-apa cara untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan penduduk Sabah serta Sarawak, tertakluk kepada kadar yang difikirkan munasabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Hassan Abdul Karim (PH PKR-Pasir Gudang) pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Hassan mempersoalkan mengapa kerajaan lebih mengutamakan isu meratifikasi ICERD, berbanding masalah memacu sosioekonomi rakyat.

Hassan turut menyifatkan kecenderungan kerajaan memberi tumpuan terhadap ICERD hanya mengundang malapetaka dan kecelaruan dalam kalangan masyarakat, justeru jalan terbaik ialah memberi penekanan terhadap isu ekonomi negara.

Waytha berkata, peruntukan Perlembagaan Persekutuan mengenai bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak bercanggah dengan intipati ICERD seperti diuar-uarkan pelbagai pihak sebelum ini.

“ICERD mentakrifkan diskriminasi kaum mengikut Artikel 1 mencakupi mana-mana tindakan membezakan, mengecualikan, menghalang atau cenderung tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, mengikut pendapat peribadi saya, ia memerlukan lebih banyak dialog dan perbincangan, selain nasihat perundangan bagi mengesahkan sama ada kita boleh meratifikasi ICERD atau tidak,” katanya.

Menjawab soalan asal Datuk Seri Azalina Othman Said (BN UMNO-Pengerang) mengenai perincian pengecualian kepada Malaysia jika mengesahkan ICERD, Waytha berkata, konvensyen itu membenarkan tindakan afirmatif mengikut Artikel 1(4) berhubung langkah-langkah khas.

Bagaimanapun, katanya, ia tertakluk dengan syarat bahawa tindakan sedemikian perlu mempunyai penetapan waktu tertentu dan objektif.

“Langkah-langkah khas perlu memenuhi beberapa syarat seperti kesesuaian dengan situasi yang ingin diubah, keabsahan, keperluan dalam masyarakat demokratik, pengakuan dan penghormatan kepada prinsip keadilan, selain bersifat sementara.

“Kewajaran dan penanda langkah khas seharusnya berlandaskan data tepat, bukan berasaskan ras, warna, keturunan, asal usul etnik atau bangsa dan mengambil kira komponen gender.

“Status sosio-ekonomi dan budaya sesebuah masyarakat yang berlainan dalam populasi juga perlu diambil kira, selain mengadakan rundingan awal dengan komuniti berkaitan,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 2:57pm
d