mutakhir

Tak mengaku terima sogokan bagi pihak Rosmah [METROTV]

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

BEKAS pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Datuk Rizal Mansor didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM500,000 bagi dirinya dan RM5 juta bagi Datin Seri Rosmah Mansor membabitkan Projek Bersepadu Sistem Solar untuk sekolah luar bandar Sarawak, dua tahun lalu.

Rizal yang juga bekas pegawai khas Rosmah turut didakwa meminta rasuah RM25 juta untuk dirinya dan bagi pihak Rosmah RM187.5 juta membabitkan projek sama.

Rizal yang memakai kot dan seluar hitam hanya mengangguk tanda memahami dua tuduhan meminta dan dua tuduhan menerima suapan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

“Saya mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan,” katanya yang tenang selepas diminta pengakuan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Bagi tuduhan pertama,Rizal didakwa meminta bagi pihak Rosmah suatu suapan iaitu wang berjumlah RM187.5 yang juga 15 peratus daripada nilai kontrak daripada Saidi Abang Samsudin iaitu Pengarah UrusanJepak Holdings Sdn Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan untuk Rosmah melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu membantu Jepak Holdings mendapatkan ProjekBersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel Bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi tuduhan kedua, Rizal didakwa meminta bagi dirinya suatu suapan iaitu wang berjumlah RM25 juta daripada Saidi sebagai dorongan bagi dirinya (Rizal) melakukan suatu perkara yang dicadangkan iaitu memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama.

Rizal didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Lygon Cafe, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit, dekat Kuala Lumpur, antara Mac dan April 2016.

Bagi tuduhan menerima rasuah pula, Rizal didakwa menerima bagi pihak Rosmah suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Saidi sebagai upah bagi Rosmah kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek sama di LobiPavilion REIT Management Sdn Bhd, 168, Pavilion, Jalan Bukit Bintang dekat sini pada 20 Disember 2016.

Tuduhan keempat, tertuduh didakwa secara rasuah menerima bagi dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM500,000 daripada individu sama sebagai upah kerana memastikan Rosmah membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek serupa .

Kesalahan itu didakwa dilakukan di No. 1, Laman Damai Sari, Jalan 1/61, Bukit Segambut, dekat Kuala Lumpur, pada 23 Disember 2016.

Semua tuduhan adalah mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar memberitahu mahkamah, kedua-dua pihak bersetuju supaya tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1 juta.

Rozina kemudian membenarkan Rizal diikat jamin sebanyak RM1 juta dua penjamin dan memerintahkan supaya RM500,000 dibayar hari ini, manakala baki dibayar selewat-lewatnya pada 22 Disember.

Hakim turut memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan sebutan kes pada 29 November.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 5:04pm
d