mutakhir

Pelajar wanita lemas dihanyut kepala air

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PELAJAR wanita sebuah kolej swasta ditemui lemas selepas dipercayai dihanyutkan kepala air di sebuah kem di Sungai Congkak, Hulu Langat, hari ini.

Dalam kejadian jam 2 petang, mangsa berusia 20 tahun dikatakan terjatuh ketika sedang bermain air di lokasi kejadian bersama seorang rakannya.

Pegawai Kanan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Hulu Langat Rohazmi Kanafih berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik sebuah resort mengenai kejadian jam 2.57 petang tadi.

“Sebaik dimaklumkan, dia bersama seorang anggota PBS bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira lima minit kemudian.

“Apabila tiba di lokasi, kami mendapati mangsa tersangkut di kawasan berbatu iaitu kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh,” katanya ketika dihubungi.

Rohazmi berkata, ketika tiba di lokasi, mereka mendapati badan wanita itu masih panas dan terus melakukan bantuan pernafasan awal (CPR) sementara menunggu ambulans tiba.

“Bagaimanapun, pihak ambulans mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia. Difahamkan, mangsa bersama beberapa rakannya terbabit dalam program dianjurkan kolej berkenaan.

“Ketika kejadian, mangsa terjatuh ke dalam sungai bersama seorang rakannya dipercayai akibat ditarik arus kepala air.

“Bagaimanapun, rakan mangsa berjaya menyelamatkan diri selepas berpaut pada dahan pokok berhampiran,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 5:37pm
d