mutakhir

Salur dividen Petronas kepada petani, nelayan

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

SEBAHAGIAN daripada dividen Petronas berjumlah RM30 bilion wajar disalur untuk membantu pekebun kecil, penoreh dan nelayan mengurangkan beban kos sara hidup susulan kejatuhan harga komoditi serta musim tengkujuh.

Hassan Abdul Karim (PH PKR-Pasir Gudang) berkata, kerajaan tidak seharusnya membelanjakan dividen itu untuk membayar balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada syarikat dan cukai pendapatan semata-mata.

“Saya meneliti ucapan Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob). Beliau bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang menyebut masalah dihadapi rakyat di luar bandar seperti petani, penoreh getah, pekebun kecil, nelayan dan penternak.

“Ahli Parlimen dari PAS ada sebut, Ahli Parlimen Kapar (Abdullah Sani Abdul Hamid) sebut, Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga ada sebut.

“Saya harap kerajaan boleh semak balik belanjawan ini. Kerajaan dapat dividen khas RM30 bilion daripada Petronas tapi jangan hanya digunakan untuk bayar balik GST dan cukai pendapatan.

“Sepatutnya sebahagian dividen Petronas itu perlu disalurkan untuk membantu penoreh getah, pekebun kecil dan nelayan sebagai insentif menolong rakyat mengurangkan (beban) kehidupan mereka.

“Harga komoditi seperti getah dan sawit terlalu rendah kini. Harga getah sekerap jatuh RM1.80 hingga RM2 sekilogram (kg). Di Sabah dan Sarawak juga harga rendah.

“Ini bermakna peruntukan untuk rakyat luar bandar yang sudah biasa dibantu kerajaan terdahulu dengan insentif perlu diteruskan.

“Kita kena faham nelayan pada musim tengkujuh tidak boleh turun ke laut dan mereka juga perlu dibantu,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga mengingatkan kerajaan supaya ‘berlembut’ dan berusaha menyelesaikan masalah dihadapi pelajar serta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) bagi mengelak dilabel sebagai kerajaan penipu.

“Pagi ini saya mendapat mesej daripada rakyat menyatakan golongan pelajar dan mahasiswa berasa tertipu dengan kerajaan sekarang kerana tidak melaksanakan janji pinjaman PTPTN.

“Saya tidak mahu berada dalam kerajaan yang dilihat sebagai cuba nak menipu rakyat. Soal PTPTN ini untuk membantu anak muda, jangan menyusahkan sangat.

“Kita dengarlah masalah mereka, jangan keras sangat. Kalau tidak dapat selesaikan sepenuhnya, sebahagian pun tidak mengapa. Kalau sebahagian pun tidak boleh, suku pun tidak mengapa,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 6:24pm
d