mutakhir

Macam-macam cara anjur judi [METROTV]

Oleh Junaidi Ladjana

SINDIKET perjudian di Sabah dipercayai menjadikan kedai runcit, premis menjual telefon serta kedai dobi sebagai tempat operasi untuk menjalankan kegiatan haram terbabit bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Taktik itu dikesan berdasarkan operasi membanteras perjudian dijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sepanjang tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Jauteh Dikun, berkata pihaknya melakukan 1,735 pemeriksaan ke atas premis berdasarkan risikan serta maklumat orang awam.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 679 serbuan dilaksanakan membabitkan 1,269 suspek ditangkap.

“Tangkapan itu membabitkan 1,029 lelaki dan 262 wanita berusia 18 hingga 40 tahun. Selain itu, enam individu disyaki ‘tauke’ dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA),” katanya pada sidang media di IPK Sabah, hari ini.

Jauteh berkata, sepanjang 1 Januari hingga 12 November 2018, polis merampas wang tunai RM559,510 dan 282 barang perjudian pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan rampasan RM709,510.

Beliau berkata, serbuan judi paling kerap adalah nombor ekor tanpa lesen (4D) dan Wahui manakala serbuan daerah paling tinggi ialah Kota Kinabalu iaitu 100 serbuan diikuti Penampang (92) dan Sandakan (81).

“Kebanyakan perjudian ini berselindung di sebalik perniagaan kedai runcit, kedai telefon bimbit dan kedai dobi.

“Mereka mengambil peluang melakukan ‘part time’ bagi mengaut untung,” katanya.

Beliau berkata, polis Sabah akan terus memerangi aktiviti perjudian di negeri ini tidak kira di kawasan bandar mahupun luar bandar.

“Saya boleh mengesahkan bahawa premis judi online sudah tiada di Sabah... kali terakhir dikesan pada Ogos lalu dan kami terus menyerbu premis berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 9:12pm
d