mutakhir

Reformasi agenda pembangunan negara

Oleh Rafidah Mat Ruzki dan Dawn Chan

PKR kini berapa dalam era pelaksanaan reformasi yang diperjuangkan selama ini.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia berikutan reformasi bukan lagi sekadar slogan, sebaliknya ia kini sebagai agenda pembangunan negara.

Justeru, ahlinya dituntut melakukan anjakan minda untuk memiliki pemikiran yang positif dan mencari penyelesaian kepada permasalahan.

"Ahli Keadiłan dan reformis yang

mencetuskan pembaharuan dan reformasi harus mengambil iktibar. Anak muda dan wanita Keadiłan menggalas tanggungjawab yang besar untuk menggilap idealisme dan mewarisi perjuangan rakyat yang luhur.

"Filasuf Karl Popper menegaskan, ‘All life is problem solving.’ Maka, kita jangan membuang masa untuk meleter mengenai masalah. Peradaban manusia

hanya akan maju dengan menyelesaikan masalah. Begitu juga dengan KEADILAN dan Pakatan Harapan. Kita akan maju dengan menyelesaikan masalah rakyat dan negara.

"Pentadbiran Malaysia Baharu mengambil langkah-langkah tegas melaksanakan reformasi institusi. Selepas 20 tahun kita memperjuangkan reformasi, cita-cita itu kini terpahat dalam dokumen Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 yang diluluskan di Parlimen baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kongres Nasional Tahunan Wanita dan AMK ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, malam tadi.

Turut hadir Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamarudin; Ketua AMK, Nik Nazmi Nik Ahmad dan calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Amirudin Shari.

Pada masa sama, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata, ahli dan kepemimpinan parti itu tidak boleh lalai daripada idealisme perjuangan reformasi walaupun PKR sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan.

Beliau berkata, sejarah mengingatkan bahawa penyakit mendewakan kuasa dan kedudukan banyak menjangkiti revolusi pada masa lampau.

"Sama ada Revolusi Perancis mahupun Revolusi Bolshevik bahkan Arab Spring yang bermula dengan agenda luhur untuk memerdekakan rakyat, menyimpang dan akhirnya mengkhianati aspirasi rakyat.

"Ia juga boleh menjangkiti PKR sekiranya kita alpa kepada matlamat dan idealisme perjuangan," katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2018 @ 11:26pm
d