mutakhir

Ajal ketika pulang ke rumah

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

PEKERJA pasar raya maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di kilometer 132.5 Jalan Kuantan-Segamat, Muadzam Shah, Rompin, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari, mangsa Sulaiha Mohd Rashid, 29, berasal dari FELDA Keratong 8, Muadzam Shah, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang memandu Perodua Viva dalam perjalanan pulang ke rumahnya dan dikatakan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Toyota Land Cruiser yang menghala ke Segamat, Johor.

“Kami tidak menolak kemungkinan mangsa yang bekerja di sebuah pasar raya di Segamat memandu dalam keadaan mengantuk sebelum bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.

“Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan mangsa melambung masuk ke laluan asal iaitu menghala ke arah Kuantan sebelum terlanggar satu kenderaan lain jenis trak,” katanya dalam satu kenyataan.

Azli berkata, pemandu trak tidak cedera manakala pemandu Toyota Land Cruiser mengadu sakit dada dan kini dirawat di Hospital Segamat.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kemalangan mendapati keadaan jalan adalah lurus serta cuaca cerah.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Rompin untuk bedah siasat.

“Polis sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 2:05am
d