mutakhir

Kaki 'party' direman [METROTV]

Oleh Shamsul Munir Safini

MAHKAMAH Majistret Bukit Mertajam, hari ini, mengeluarkan perintah reman tiga hari ke atas 25 individu termasuk tiga di bawah umur yang ditahan polis ketika berparti liar di rumah inap desa di Bukit Mertajam, semalam

Perintah reman tiga hari ke atas kesemua suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar, Nor Hapipah Abdullah bermula hari ini sehingga 18 November ini.

Suasana di kawasan mahkamah pagi tadi dipenuhi dengan keluarga dan saudara terdekat suspek yang ternyata terkejut dengan kejadian berkenaan.

Dalam kejadian semalam, 25 individu termasuk tiga di bawah umur ditahan kerana mengambil beberapa jenis dadah di inap desa kondominium di Bukit Mertajam.

Kesemua suspek berusia antara 17 hingga 33 tahun yang masing-masing 16 lelaki dan sembilan wanita itu ditahan ketika menghadiri sambutan hari lahir, 7.30 pagi semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Seri A Thaiveegan berkata, semua suspek didapati menyewa unit kondominium terbabit bagi menganjurkan ‘pesta liar’.

Katanya, dua daripada semua suspek itu adalah penuntut GiatMara, manakala ketiga-tiga remaja bawah umur tidak bersekolah dan selebihnya ialah penganggur.

“Serbuan ini dibuat susulan laporan dibuat jiran di situ dengan pintu rumah terbabit sudah terbuka ketika serbuan dijalankan. Kita menemui sembilan perempuan serta 16 lelaki berada di ruang tamu.

“21 daripada semua suspek didapati positif methamphetamin, amphetamine dan ketamin dengan semua mereka kini dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah bagi siasatan lanjut,” katanya.

Berita berkaitan

'Macam ini kamu sambut hari lahir ya... '

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 12:49pm
d