mutakhir

Petaka lima bulan lalu...

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

REMAJA perempuan berusia 16 tahun berdepan detik hitam apabila dirogol secara bergilir-gilir 11 lelaki di dua lokasi berasingan di Dungun.

Lebih malang, mangsa yang tidak bersekolah itu turut disahkan mengandung 22 minggu akibat perbuatan tidak bermoral itu.

Kejadian dipercayai berlaku pada Jun lalu apabila mangsa dikatakan keluar bersama seorang lelaki dikenali yang mengambilnya di rumahnya di Kerteh, Kemaman.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, mangsa kemudian dibawa ke sebuah rumah di Ketengah Jaya sebelum dia dipaksa melakukan hubungan seks.

Beliau berkata, mangsa mendakwa turut dirogol tiga lagi lelaki tidak dikenali sebelum rakannya itu masuk ke dalam bilik untuk menghantarnya pulang ke rumah.

“Ketika dalam perjalanan, rakan dikenali mangsa singgah di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Paka dan menyerahkannya kepada seorang lagi lelaki.

“Lelaki terbabit bertindak memberhentikan keretanya di tepi jalan berhampiran sebuah kedai makan di Paka untuk berjumpa dua lagi lelaki dengan seorang daripadanya dipercayai warga asing.

“Mangsa kemudian dibawa ke rumah di Paka dan remaja itu sekali lagi dirogol secara bergilir-gilir tujuh lelaki termasuk ada antara mereka dikenali mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Baharudin berkata, mangsa hanya dihantar pulang seorang daripada suspek berhampiran rumahnya pada 5 pagi keesokan harinya.

Katanya, mangsa yang disahkan hamil 22 minggu hanya membuat laporan di Balai Polis Ketengah Jaya, semalam.

“Kami sudah mengenal pasti identiti suspek dan gerakan memburu mereka giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 375 B Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 5:05pm
d