mutakhir

Pameran MyRumah diperluaskan tahun depan

Oleh Shamsul Kamal Amarudin; Shaarani Ismail dan Zahratulhayat Mat Ariff

BERIKUTAN sambutan memberangsangkan, program pameran hartanah, MyRumah akan diperluaskan ke pantai timur Semenanjung, Sabah dan Sarawak tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP), Datuk Seri Abdul Jalil Hamid berkata, ia bagi memberi peluang dan pilihan kepada lebih ramai rakyat di negara ini terhadap projek perumahan yang dipamerkan dalam program berkenaan.

Katanya, ada juga pengunjung yang mengatakan tempoh pameran MyRumah anjuran NSTP selama tiga hari itu terlalu singkat, justeru perkara berkenaan juga akan diteliti.

"Ini adalah program MyRumah pertama di Ipoh sepanjang pameran ini berlangsung sejak tiga tahun lalu dan kita tidak menolak kemungkinan akan mengadakan program ini dalam skala lebih besar di sini pada masa akan datang, " katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas majlis perasmian Pameran Hartanah MyRumah siri kelima di AEON Mall Ipoh Klebang di Ipoh, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri, Paul Yong Choo Kiong, hadir bagi merasmikan program berkenaan.

Hadir sama, Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib; Ketua Pengiklanan Wilayah NSTP, S Linggaraj dan Pengurus Projek MyRumah, Mohd Haslan Abd Abbas.

Terdahulu, dalam ucapannya, Abdul Jalil berkata, tahun ini sahaja MyRumah mencatatkan kunjungan lebih 38,000 orang sepanjang empat siri diadakan sebelum ini iaitu di Shah Alam, Sungai Petani, Johor Bahru dan Melaka.

Katanya, bagi siri terakhir tahun ini di Ipoh, MyRumah menonjolkan lima kumpulan pemaju yang menawarkan pelbagai projek perumahan berkos sederhana dan tinggi bermula daripada harga RM150,000 dan ke atas.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada lima pemaju yang mengambil bahagian iaitu SPNB Aspirasi Sdn Bhd, Rima Properties Holding Sdn Bhd, Sun Land Properties Sdn Bhd, Casa Subang Sdn Bhd serta P K Lee Sdn Bhd, serta syarikat bukan pemaju yang turut mengambil bahagian iaitu Takaful Ikhlas Berhad.

Abdul Jalil berkata, pameran hartanah MyRumah bukan hanya menjadi platform yang menawarkan projek perumahan yang menarik tetapi juga menjadi pusat sehenti yang mampu menjawab segala pertanyaan pengunjung dan pembeli.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 7:10pm
d