mutakhir

Kertas SPM tak bocor

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

TIDAK berlaku kebocoran soalan dan jawapan Matematik Kertas 1, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 seperti tersebar di media sosial.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata, beliau dimaklumkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) sudah berhubung dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Elopura Dua Sandakan, Sabah berhubung perkara itu, hari ini.

"LPM sudah menghubungi dan bercakap dengan guru, Mohamad Fairuz dari sekolah terbabit. Beliau memaklumkan bahawa jawapan yang beliau muat naik dalam Instagramnya adalah untuk berkongsi dengan rakan-rakan dan pelajarnya.

"Jawapan itu disediakan selepas peperiksaan selesai dan dimuat naik selepas 11.15 pagi. Jawapan itulah yang diviralkan dalam media sosial

"Berdasarkan maklumat ini tidak berlaku kebocoran kertas soalan dan jawapan Matematik seperti didakwa," katanya dalam catatan di Facebooknya.

Beliau mengulas mesej yang tular di media sosial kononnya kertas soalan dan jawapan bagi Matematik Kertas 1, Bahasa Melayu Kertas 2 dan bahasa Cina bagi peperiksaan SPM 2018, bocor.

Dalam mesej itu dinyatakan LPM sedia maklum berhubung perkara itu dan sedang menjalankan siasatan lanjut serta mengesyaki berlaku sabotaj.

Selain itu, dinyatakan juga calon SPM terbabit mungkin perlu menduduki semula kertas berkenaan pada 17 dan 18 Disember depan.

Disiarkan pada: November 16, 2018 @ 11:00pm
d