mutakhir

Kenang jasa UiTM

Oleh Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Alumni Universiti Teknologi MARA (UiTM) diingatkan agar sentiasa mengenang jasa institusi yang banyak melahirkan graduan berjaya dalam bidang masing-masing.

Pro Canselor UiTM Tan Sri Dr Arshad Ayub berkata, walaupun sudah menamatkan pengajian di universiti terbabit, jasa UiTM yang banyak membantu anak bangsa perlu sentiasa diingati.

“Seperti pantun yang berbunyi pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti, hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

“Dalam konteks UiTM, hutang pada universiti itu dibalas sehingga mati. Bukan saya saja, tetapi ramai lagi individu yang banyak memberi jasa kepada UiTM sehingga mampu berada pada tahap tertinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Makan Malam Sempena Hari Lahirnya yang ke-90 anjuran Persatuan Alumni UiTM dan Tabung Pendidikan 1 Bilion (TP1B) di Dewan Agung Tunku Canselor di sini, malam semalam.

Turut dihadiri, Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Tahir dan bekas Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

Pada majlis itu, TP1B menyumbang RM1 juta kepada UiTM untuk tujuan pendidikan, kebajikan, biasiswa dan penyelidikan ilmiah.

Sementara itu, Hassan ketika berucap menyifatkan Arshad seorang yang tegas dan tidak menerima alasan ‘tidak boleh’ dalam kalangan warga kerja UiTM.

“Dalam ketegasannya, beliau banyak memberi inspirasi dan kekuatan kepada ramai warga kerja UiTM, baik yang bersara mahupun yang masih berada di universiti ini.

“Seawal 1960-an, Arshad terkenal dalam kalangan penuntut Kolej MARA sebagai insan yang memperkenalkan roti dalam menu makanan harian anak kampung sebelum ini.

“Beliau berani memberikan tamparan kepada penuntut yang suka melepak dan membuang masa.

“Garang, saya yang mendengar cerita juga terkejut tetapi beliau insan yang melahirkan generasi berwibawa yang kuat semangat, berilmu serta profesional bahkan memenuhi dan mewarnai dunia korporat tanah air bermula daripada 1980-an sehingga kini,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 3:14am
d