mutakhir

Rafizi tanding PRK Rantau...?

Oleh Mohd Iskandar Ibrahim dan Dawn Chan

DATUK Seri Anwar Ibrahim mengesahkan nama bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli ada dibangkitkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Ketua Umum PKR itu berkata, siapa calon yang akan bertanding pada pilihan raya kecil terbabit masih di peringkat perbincangan.

“Ya, ada nama Rafizi dibangkitkan (sebagai calon) tetapi saya merasakan beliau lebih layak daripada itu (untuk hanya menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perasmian Kongres Nasional PKR Ke-13 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, hari ini.

Ditanya sama ada PKR akan meletakkan calon baru pada PRK DUN Rantau, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson tidak menolak kemungkinan itu.

“Ya, ada kemungkinan meletakkan calon baharu. Buat masa ini tiada sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Anwar berkata, proses memilih calon untuk bertanding mana-mana pilihan raya membabitkan pelbagai peringkat yang perlu dipatuhi.

“Saya ingin menjelaskan proses untuk mencalonkan mana-mana individu bermula di peringkat Cabang, kemudian dari peringkat negeri, Biro Politik dan akhir sekali Presiden parti pada masa itu.

“Buat masa ini, saya tidak mengambil apa-apa sikap, kita kena tanya dulu, buat kajian, itu proses yang selalu kita lakukan,” katanya.

Mahkamah Tinggi Seremban, semalam memutuskan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan tanpa bertanding di kerusi DUN Rantau pada PRU-14 lalu, batal dan tidak sah.

Hakim Datuk Azimah Omar turut memutuskan satu PRK perlu diadakan bagi DUN itu serta-merta.

Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 1:01pm
d