mutakhir

Nak lari konon...

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEORANG lelaki nekad terjun dari bumbung rumah untuk meloloskan diri ke kawasan ladang kelapa yang terletak di belakang kediamannya di Tanjung Karang, Kuala Selangor,

Bagaimanapun, tindakan lelaki berusia 27 tahun itu gagal apabila ditahan selepas dikejar sejauh 400 meter berikutan anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Selangor yang sudah mengepung kawasan itu.

Tindakan lelaki terbabit juga menyebabkan dia cedera di kepala dan dihantar ke Hospital Tanjung Karang untuk rawatan lanjut.

Itu antara gelagat penagih yang ditahan dalam operasi dijalankan AADK Daerah Kuala Selangor yang dijalankan bermula Isnin lalu hingga kelmarin.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Selangor Khairulnizam Abu Samah berkata, pihaknya turut menahan seorang ‘tokan’ dan penagih masing-masing berusia 40-an yang sedang berurus niaga di Kampung Sungai Kajang, Kuala Selangor dalam operasi berkenaan.

“Difahamkan, tokan berkenaan aktif membekalkan dadah kepada penagih di sekitar kampung terbabit sejak beberapa bulan lalu. Kami turut merampas dadah yang dianggarkan bernilai kira-kira RM4,000 dalam operasi itu.

“Lelaki berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Khairulnizam berkata, dalam operasi itu juga, pihaknya menahan pasangan suami isteri berusia 32 dan 26 tahun yang menghisap dadah di depan anak lelaki mereka berusia tujuh tahun di sebuah rumah di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

“Pada masa sama, seorang wanita berusia 29 tahun juga ditahan ketika sedang menghisap dadah di depan tiga anaknya berusia empat hingga tujuh tahun di rumahnya di Bestari Jaya.

“Teman lelaki wanita terbabit berusia 36 tahun yang sedang tidur ketika serbuan turut ditahan selepas didapati positif dadah,” katanya.

Katanya, seramai 18 penagih dadah termasuk dua wanita berusia 19 hingga 45 tahun ditahan dalam operasi itu.

“Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Selangor untuk siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 membabitkan 16 kes.

“Manakala, dua lagi kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) akta yang sama,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 1:01pm
d