mutakhir

Saudagar adiwira

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

Kuantan: Melangkah masuk ke dalam sebuah premis di Taman Guru di sini, mata dihidangkan dengan deretan pelbagai baju serta kostum berwarna-warni yang pastinya menarik perhatian.

Katakan kostum apa saja, baik daripada watak adiwira filem mahupun komik, manga, kartun, animasi, fantasi dan permainan video, semuanya boleh didapati di premis berkenaan baik untuk saiz kanak-kanak sehingga dewasa.

Menjalankan perkhidmatan menyewakan kostum sejak setahun lalu, percaturan pasangan suami isteri, Mohd Rostam Hassan, 38, dan Norul-
huda Md Daud, 35, nyata berbaloi apabila hampir setiap minggu mereka menerima sewaan kostum.

Ditanya tercetusnya idea menjalankan perkhidmatan itu, Mohd Rostam berkata, semuanya bermula apabila anak bongsu mereka, Daniel Hafidh, 6, terlalu meminati watak adiwira sehinggakan mahu memakai kostum berkenaan setiap hari.

“Saya terpaksa membeli kostum untuknya di Kuala Lumpur kerana sukar mencarinya di Kuantan. Daripada hanya satu kostum, ia kemudian bertambah menjadi lebih lima kostum.

“Dari situ, timbul idea menjalankan perkhidmatan sewaan kostum ini memandangkan ada orang yang bertanyakan dari mana saya membeli kostum yang dipakai Daniel Hafidh,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.

Mohd Rostam berkata, mereka memiliki kira-kira 300 kostum merangkumi watak adiwira filem, komik, manga dan juga cosplay yang disewa dengan harga bermula RM30 hingga RM200.

Beliau berkata, dia mendapatkan kostum berkenaan dari ibu negara, Johor dan diimport dari luar negara malah ada juga kostum yang ditempah khas.

Apa yang menarik, setiap kostum dilengkapi aksesorinya malah mereka juga menawarkan perkhidmatan solekan bersesuaian dengan watak kostum berkenaan.

“Ada kalanya saya terpaksa mencari aksesori secara berasingan kerana tidak semua kostum didatangkan sekali dengan aksesorinya, malah ada juga aksesori yang saya buat sendiri.

“Saya mahu memastikan pelanggan menyewa kostum yang lengkap kerana ia memberi kepuasan kepada saya apabila mereka menggayakan kostum itu menyerupai watak asalnya,” katanya.

Mohd Rostam berkata, antara kostum yang sering menjadi pilihan kanak-kanak adalah watak Red Riding Hood, Harry Potter dan juga watak kartun Disney manakala kostum Maleficent dan Naruto sering menjadi pilihan pelanggan dewasa.

Sementara itu, Norulhuda berkata, kebanyakan pemilihan kostum dan aksesorinya dilakukan sendiri oleh suaminya yang teliti dalam memastikan kostum berkenaan sempurna.

“Suami memang cerewet, malah dia mencuci sendiri menggunakan tangan semua kostum apabila dipulangkan pelanggan bagi memastikan kebersihannya.

“Jika ada sebarang kerosakan pada kostum seperti jahitan terkoyak dan sebagainya, saya menjahitnya sendiri kerana saya tidak mahu pelanggan lain merungut mengenai kualiti kostum yang disewa,” katanya.

Beliau berkata, pelanggannya bukan saja dari bandar ini malah ada yang sanggup datang dari Johor Bahru, Selangor dan juga Terengganu.

“Kebanyakan mereka mengetahui mengenai perkhidmatan kami menerusi (laman sosial) Facebook, Costume Cosplay Rental Kuantan dan sambutan yang diterima menggalakkan baik daripada kanak-kanak mahupun dewasa,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 1:01pm
d