mutakhir

Tragedi pulang ke Gua Musang

Oleh Ramli Ibrahim

PENUMPANG perempuan maut apabila kereta dinaikinya bertembung dengan lori di Kilometer 15 Jalan Gua Musang-Lojing, dekat Kampung Lalat, Gua Musang, hari ini.

Mangsa, Nur Najiha Mohd Zaki, 20, berasal dari Kampung To’uban, Pasir Mas meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan 5.50 pagi itu.

Dalam kemalangan itu, tiga penumpang lain berusia 20 tahun termasuk pemandu Perodua Myvi turut cedera, namun pemandu lori, 37, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin berkata, kejadian berlaku ketika Nur Najiha bersama tiga rakan dalam perjalanan melalui jalan Cameron Highlands, Pahang untuk ke Gua Musang.

Katanya, sebaik sampai di lokasi, pemandu kereta itu memasuki laluan bertentangan lalu dilanggar lori.

“Mangsa yang duduk di sebelah kiri tempat duduk penumpang belakang meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan,” katanya.

Menurutnya, tiga penumpang termasuk pemandu kereta menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Gua Musang (HGM).

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik HGM untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 1:39pm
d