mutakhir

Projek pembangunan punca banjir kilat [METROTV]

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

MENTERI Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad menafikan sistem Terowong Jalan dan Pengurusan Air Banjir (SMART) gagal berfungsi seperti sepatutnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam berkata, jika SMART gagal berfungsi, ibu kota akan ‘tenggelam’ ketika hujan lebat seperti pernah dialami dahulu.

Katanya, kekeliruan masyarakat yang tidak jelas mengenai fungsi SMART berkemungkinan menyebabkan tular kejadian kenderaan yang didakwa terperangkap dalam terowong berkenaan ketika hujan lebat, baru-baru ini.

“Terowong SMART, jika orang tidak berapa faham ia terowong yang beroperasi atas tiga peringkat. Pada peringkat awal iaitu hujan biasa atau sederhana, ada air yang boleh mengalir dan pada masa sama kenderaan juga boleh melalui terowong berkenaan.

“Di peringkat lebih lebat, ia masih boleh lagi pada bahagian tertentu, dua tingkat terowong berkenaan boleh dilalui kenderaan dan air pula lalu di bawahnya.

“Tetapi pada keadaan hujan yang lebat, mereka akan mula halang kereta daripada masuk (terowong) dan keseluruhan terowong digunakan untuk menyalurkan air ke tasik dan menyebabkan keadaan banjir dapat dielak daripada menjadi teruk lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian sebuah kenderaan yang tenggelam akibat banjir kilat, baru-baru ini yang didakwa berlaku di terowong berkenaan.

Terdahulu, Khalid melepaskan lebih 1,000 peserta November Run 7 KM pada majlis perasmian Healthy & Bright Kids Carnival di Pusat Kegiatan Masyarakat Sri Batu, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, kewujudan terowong itu mengurangkan banyak masalah banjir, tetapi kadangkala hujan terlalu lebat menyebabkan aliran air tersekat.

“Ianya bukan kerana tidak ada terowong SMART atau sistem saliran yang baik, tetapi kerana perparitan itu tersumbat dan sebagainya menyebabkan aliran tidak selaju seperti mana sepatutnya,” katanya.

Khalid berkata, daripada sudut reka bentuk sistem perparitan dan saliran di ibu negara, ia dibina berdasarkan kepada paras hujan atau kelebatan hujan atau paras kenaikan air sungai untuk 100 tahun tertinggi.

Katanya, antara punca masalah banjir kilat di ibu negara ketika ini kerana banyak projek pembangunan sekali gus menyukarkan usaha untuk menjaga kebersihan dan keadaan perparitan.

“Pembangunan ini bukan dalam kawasan tertentu, tetapi merata- rata sebagai contohnya MRT (transit aliran massa) dan dalam keadaan kawasan sempit untuk diletakkan kolam tadahan.

“Di tapak projek ada kolam berkenaan kerana semua air di projek itu masuk ke kolam berkenaan, pasir dan sampah tersekat di kolam itu.

“Tetapi untuk projek sepanjang jalan, agak susah kerana tiada ruang untuk penyediaan kolam berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 4:37pm
d