mutakhir

Mayat tersangkut mata kail

Oleh Farah Suhaidah Othman

MAYAT lelaki warga emas ditemui di tebing sebuah lombong berhampiran Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di Kampar, hari ini.

Difahamkan, mayat Lan Siew Song, 66, ditemui orang awam apabila tersangkut pada mata kail seorang pemancing jam 9.45 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampar Meor Mohd Ali Meor Husien berkata, pihaknya menerima maklumat daripada pihak polis memaklumkan penemuan mayat berkenaan dua minit kemudian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati mangsa berada di tepi tebing selepas mata kail seorang pemancing tersangkut pada tubuhnya.

“Anggota bomba bertindak menggunakan tali untuk mengangkat mangsa. Pegawai perubatan kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis lalu dibawa ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 5:18pm
d