mutakhir

Polis pun 'layan' air ketum...?

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TIGA anggota polis antara lapan individu termasuk seorang wanita yang ditahan bersama air ketum dan ubat batuk dalam serbuan di pondok membaiki kasut di Taman Desa Petaling, Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, hasil maklumat awam, sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Salak Selatan membuat serbuan di pondok itu, jam 9.30 malam.

“Pemeriksaan di pondok itu menemui satu tong polisterin mengandungi 26 botol berisi cecair disyaki air ketum dan satu kotak mengandungi 51 botol disyaki ubat batuk dianggarkan bernilai RM1,200.

“Mereka yang ditahan berusia 24 hingga 54 tahun dengan tiga daripada mereka adalah anggota polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan maklumat berkaitan pembabitan dan aktiviti yang dijalankan suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Semua suspek direman satu hari bagi orang awam bermula hari ini, manakala tiga hari bagi anggota polis terbabit bagi membantu siasatan.

“Saya memohon kepada orang ramai supaya bekerjasama dengan pihak polis dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah di kawasan masing-masing,” katanya.

Disiarkan pada: November 17, 2018 @ 6:01pm
d