mutakhir

Tebuk dinding tak boleh buka pintu

Oleh HM Digital

Miri: Sekumpulan penjenayah nekad menebuk dinding konkrit di rumah sarang burung menggunakan tukul besi dalam kejadian samun di Kampung Lumut di sini, tengah malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah malam, lima individu bertopeng dan bersenjatakan parang melarikan sejumlah sarang burung dan wang tunai dengan nilai keseluruhan RM8,800.

Menurut sumber, penjenayah terbabit menebuk dinding selepas gagal membuka pintu besi rumah sarang burung berkenaan.

Sumber berkata, sebelum itu mereka menceroboh kediaman sebuah keluarga yang juga penjaga rumah sarang burung itu.

“Empat sekeluarga terbabit diikat, manakala RM1,200 turut dilarikan.

“Seorang daripada mereka itu mengawasi mangsa, manakala selebihnya ke rumah sarang burung berhampiran rumah itu,” katanya.

Menurutnya, penjenayah terbabit nekad menebuk dinding dan mengambil sejumlah sarang burung berkenaan sebelum melarikan diri.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner Lim Meng Seah mengesahkan menerima laporan berkaitan kejadian.

“Semua mangsa selamat dan tidak cedera.

“Usaha mengesan suspek giat dilakukan dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 8:31am
d