mutakhir

Tiga rakan parah

Oleh Rosli Ilham

TIGA penuntut kolej di Kemaman parah selepas kereta yang mereka naiki bertembung dengan kereta lain di Kilometer 75.5, Jalan Jerangau - Jabur, dekat Bukit Besi, malam tadi.

Dalam kemalangan 9.15 malam itu, Muhammad Aliuddin Abdul Satar, 19, penuntut Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di Kemaman yang berasal dari Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, dilaporkan kritikal selepas parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Rakannya, Muhammad Syafi Mohd Zuki, 18, yang belajar di Kolej sama serta seorang lagi rakannya, Muhammad Faiz Ilhwan Januar, 18, penutut Institut Pendidikan dan Latihan Ranako Kemaman parah di bahagian kepala, kaki dan anggota badan.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila Produa Viva dinaiki tiga sahabat terbabit dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan kanan jalan.

Berikutan itu kereta terbabit kemudiannya bertembung dengan Honda Jazz yang dipandu Ahmad Syahmi Rosdi, 24, anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Besi.

Anggota JPJ terbabit dipercayai patah bahu dan cedera di bahagian dalaman badan dan dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Ketika kejadian, Muhammad Aliuddin dalam perjalanan mengambil kedua-dua sahabatnya itu di Bukit Besi untuk pulang ke kolej mereka di Kemaman.

Ketua Penjaga Balai Bomba Dan Penyelamat AMBS, Jaswari Awang berkata, pihaknya menerima panggilan pada 9.18 malam bersama lima anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba dua penumpang dalam Viva terbabit telah dikeluarkan orang ramai manakala pemandu kereta itu yang tersepit dikeluarkan 10 minit selepas itu.

"Kesemua mangsa yang parah itu dikejarkan ke Hospital Dungun dengan ambulans untuk menerima rawatan lanjut, "katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 9:16am
d