mutakhir

Mahu kekal tambang Nadiputra

Oleh Zanariah Abd Mutalib

SYARIKAT pengurusan bas Nadiputra, Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd (PAPTT) memerlukan kira-kira RM12 juta setahun bagi kelangsungan operasi perkhidmatan bas awam itu di Putrajaya.

Justeru, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, Perbadanan Putrajaya (PPj) sedang berusaha mencari dana bagi menambah subsidi untuk syarikat itu, bagi memastikan tambang bas itu kekal 50 sen untuk penumpang.

Katanya, ketika ini, jumlah subsidi yang diberikan PPj adalah sebanyak RM5 juta setahun, manakala hasil pendapatan syarikat melalui kutipan tambang juga adalah kira-kira RM5 juta.

"Pihak Nadiputra sudah beberapa kali berjumpa saya dan PPj. Antara masalah yang dihadapi mereka adalah kita menghadkan kutipan kadar tambang sebanyak 50 sen, yang menyebabkan pendapatan mereka tidak mencukupi.

"Jadi, kalau kita mahu mereka kekalkan kadar tambang itu, kita kena ambil tanggungjawab mencari sumber kewangan lain untuk diberikan sebagai subsidi.

"Setakat ini, kita sedang usahakan kerana kita mahu kadar tambang itu kekal dan menggalakkan orang ramai menggunakan bas, berbanding kereta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan program Gotong -Royong Mega Putrajaya 2018 di Apartment Fasa 4, Presint 9, Putrtajaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan dan Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Ogos lalu, BH mendedahkan khidmat bas Nadiputra yang disediakan untuk kemudahan penduduk Putrajaya dan orang ramai yang mahu berurusan atau melancong, kian merosot dan dikhuatiri boleh menjejaskan imej Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan berkenaan.

Selain gagal mematuhi jadual perjalanan dan sering lewat, bas juga didakwa banyak mengalami kerosakan dipercayai kerana gagal diselenggara dengan baik, menyebabkan perkhidmatan disediakan untuk kemudahan pengguna bertukar jadi menyusahkan.

Khalid berkata, pihaknya juga sudah meminta PAPTT untuk mencari sumber kewangan sendiri dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan bas Nadiputra.

"Kita minta mereka menjaga aspek penyelenggaraan bas supaya tidak banyak mengalami masalah kerosakan, sekali gus dapat mengurangkan kos operasi.

"Daripada segi pengurusan, kita akan membantu dengan meletakkan wakil kita untuk membuat pemantauan supaya subsidi tidak digunakan kepada perkara yang bukan keutamaan dan tidak sepatutnya," katanya.

Khalid berkata, ketika ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memperuntukkan RM20 juta untuk melaksanakan perkhidmatan bas GoKL secara percuma, selain perkhidmatan feri di Labuan yang hanya mengenakan tambang separuh harga.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 11:43am
d