mutakhir

Graduan UK juara Miss Scuba International

Oleh Avila Geraldine

GRADUAN universiti warga British dinobatkan sebagai pemenang Miss Scuba International (MSI) 2018, selepas mengalahkan 21 peserta lain di Kota Kinabalu, malam tadi.

Berikutan kemenangan itu, Daisy Hope Whetlor, 21, yang mewakili United Kingdom dijangka melaksanakan kerja sebagai duta mempromosikan konservasi marin dan industri menyelam di seluruh dunia.

Dia mengambil alih tugas berkenaan daripada pemenang MSI 2017, Britany Anne Novick dari Amerika Syarikat.

Daisy, yang memiliki kemahiran menyelam di perairan terbuka turut memenangi gelaran Miss Marine Conservation.

Ketika menyampaikan pendapatnya berhubung isu konservasi marin, gadis berketinggian 1.75 meter itu menekankan keburukan penggunaan plastik dan pembuangan sisa atau kotoran di lautan.

"Haiwan marin mati disebabkan kesan alam sekitar. Kita ketagih dengan plastik dan jika amalan semasa itu berterusan, plastik yang dibuang di laut akan terus bertambah.

"Bagaimanapun, tindakan positif semakin meningkat dan kerajaan mula bertindak. Pendidikan baharu mengajar kita dan dasar kerajaan berupaya mengurangkan pencemaran.

"Sebagai contoh, bulan lalu Emiriyah Arab Bersatu mengharamkan penggunaan plastik bagi menghentikan pencemaran plastik. Kita perlu memainkan peranan kita sebagai individu dengan mengambil berat penggunaan plastik dan pelupusannya," katanya.

Sementara itu, wakil dari Taiwan, Huang Yu-Wen, 27, memenangi tempat kedua dan gelaran Best National Costume, manakala wakil Filipina, Noelle Fuentes Uy-Tuazon, 26, menduduki tempat ketiga.

Gelaran lain dimenangi Joahanna Acs dari Jerman (Miss Photogenic), Zofia Marta Majka dari Australia (Miss Talented) dan Christian Anaid Salas-Martos dari Mexico (Miss Congeniality).

Terdahulu, pengasas dan Pengerusi Eksekutif MSI, Robert Lo, dalam ucapannya berkata, pencemaran plastik adalah antara isu marin yang besar di seluruh dunia.

Pertandingan MSI pada tahun ini menyaksikan peserta dari pelbagai negara iaitu Belize, China, Hong Kong, Indonesia, Iran, Jepun, Latvia, Macau, Malaysia, Belanda, New Zealand, Poland, Afrika Selatan, Thailand dan Amerika Syarikat.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 12:07pm
d