mutakhir

Jangan lagakan Tun M, Anwar

Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

SEBARANG usaha untuk melaga-lagakan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu dihentikan bagi memastikan proses peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri berjalan lancar tanpa gangguan.

Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin berkata, perbuatan melaga-laga, mengadu domba dan 'menyucuk' kedua-dua pemimpin terbabit harus ditamatkan memandangkan wujud persetujuan melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-lapan.

"Perdana Menteri sekarang Tun Dr Mahathir. Selepas ini Presiden PKR, Anwar. Jangan melaga-lagakan, mengadu domba dan menyucuk Anwar dan Dr Mahathir.

"Kita (Pakatan Harapan) sudah bersetuju Anwar akan menjadi Perdana Menteri ke-lapan. Oleh itu jangan jadi 'si kitul' yang jadi pengkhianat dalam PKR.

"Melaka tewas kepada Portugis dulu kerana ada 'si kitul' yang jadi pengkhianat dalam kerajaan Melaka. Jangan ada si kitul moden dalam PKR yang melaga-lagakan dua pemimpin ini," katanya dalam ucapan penggulungan Kongres Nasional Keadilan ke-13 di Shah Alam, hari ini.

Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama berkata, ahli PKR juga perlu memberi sokongan penuh kepada gandingan antara Anwar sebagai Presiden dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden untuk memacu agenda reformasi parti dan kerajaan.

"Jangan pertikai gandingan Anwar dan Mohamed Azmin. Hubungan mereka terjalin selama 30 tahun. Jangan ada perbuatan cucuk dan adu domba," katanya.

Sementara itu katanya, pucuk pimpinan baharu parti perlu mengatasi tuntutan pemimpin akar umbi agar mereka diberi lebih banyak peluang untuk berperanan dalam kerajaan terutama kerajaan negeri.

"Mereka meluahkan sekarang sudah jadi kerajaan tetapi tidak boleh berperanan dalam kerajaan.

"Mereka bukan minta posisi dan jawatan tapi minta bagaimana hendak laksana agenda reformasi jika masih berkiblat dengan parti lama.

"Pimpinan baharu parti kena dengar dan perkara ini mesti selesai segera. Kalau tidak kita akan berdepan masalah besar," katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 12:23pm
d