mutakhir

Semua setuju usul TPM kekal jawatan

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

KONGRES Nasional PKR Ke-13 hari ini sebulat suara meluluskan usul supaya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga berlaku peralihan kepemimpinan negara yang baharu.

Usul berkenaan dibawa Setiausaha Agung Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menggulung perbahasan pada hari terakhir kongres berkenaan di

Pusat Konvensyen Ideal (iDCC), Shah Alam, hari ini.

Usul berkenaan bagaimanapun tidak direkodkan daripada seorang penyokong namun sebulat suara disepakati perwakilan di dalam dewan yang berdiri sebagai tanda bersetuju.

"Saya ingin angkat satu usul untuk kita sepakati bahawa Keadilan dalam kongres tahun ni mengangkat satu syor supaya Dr Wan Azizah kekal sebagai Timbalan Perdana Menteri sehingga peralihan kepemimpinan negara berlaku pada satu masa yang akan ditetapkan kelak.

"Setuju atau tidak, jika setuju angkat tangan, berdiri dan laungkan setuju tanda sokongan bulat yang tidak berbelah bahagi, " katanya disertai laungan setuju sebanyak dua kali daripada perwakilan di dalam dewan.

Selain usul berkenaan, perwakilan turut bersetuju dengan satu lagi usul dibawa Saifuddin iaitu tiada lagi wakil rakyat dan EXCO parti berkecuali daripada membuat potongan gaji sebanyak 10 hingga 15 peratus untuk disalurkan kepada parti.

"Saya mahu syorkan, tahun ini jangan ada lagi (wakil rakyat dan EXCO) berkecuali tak bayar (potongan elaun).

"Jika culas ini masih berlaku, tahun depan kita pamerkan nama-nama mereka ini dalam buku penyata tahunan," katanya yang kemudian mendapat laungan setuju tanda sokongan perwakilan.

Tambahnya, pemotongan gaji itu dibuat bagi memastikan parti dapat bergerak dan membiayai pelbagai keperluannya setiap bulan.

"Kena ingat, kita ada pada kedudukan hari ini bukan kerana nama tapi kerana watikah parti Keadilan yang mendapat sokongan rakyat," katanya.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 2:41pm
d