mutakhir

PRK Rantau: Isu ICERD tak jejas peluang PH

Oleh Nur Aqidah Azizi

ISU cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) tidak akan mengganggu peluang Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Foke berkata, tiada keputusan dibuat oleh kerajaan berkenaan ICERD.

“Ini adalah isu polemik yang cuba dibangkitkan pembangkang untuk menyerang kerajaan kerana ia belum diputuskan Kabinet lagi.

“Kami ingin menjelaskan kepada rakyat bahawa kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan dan jika ia dibawa ke Kabinet, saya yakin pendapat semua pihak akan diambil kira,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri taklimat agensi kerajaan dan majlis berkenalan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Temiang di Seremban, hari ini

Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, dalam konteks Malaysia baharu, perbezaan pandangan disambut tetapi tidak boleh menyebabkan wujud ketegangan kaum di negara ini.

“Saya harap isu ini tidak akan memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum kerana kita tidak mahu ia menjadi polemik yang memecahkan kesatuan kita.

“Di bawah pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ratifikasi ICERD akan dibincangkan dengan teliti,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Loke berkata DAP tidak akan ‘mencabar’ kerusi yang diperuntukkan bagi PKR bagi PRK DUN Rantau sebaliknya akan menggerakkan jentera untuk membantu mana-mana calon dari PH.

“Saya rasa ini adalah pilihan raya kecil yang akan dipantau dengan teliti kerana ia akan menentukan penanda aras untuk arah politik Malaysia dan hala tuju UMNO,” katanya.

Jumaat lepas, Mahkamah Pilihan Raya di sini, memutuskan kemenangan Datuk Seri Mohamad Hasan untuk kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai tidak sah dan memerintahkan pilihan raya kecil diadakan dengan segera.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 4:20pm
d