mutakhir

DAP serah isu ICERD kepada PM [METROTV]

Oleh Siti Sofia Md Nasir dan Mohamed Basyir

DAP menyerahkan keputusan berhubung cadangan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, pihaknya tidak akan memberi sebarang ulasan berhubung perkara itu, dan menyerahkan sepenuhnya kepada Dr Mahathir.

"Kita tidak mahu perkara ini dimanipulasi pembangkang, sekali gus membuatkan kita terperangkap dengan permainan politik mereka.

"Kita serahkan kepada Dr Mahathir sepenuhnya dan kita buat kerja kita sahaja," katanya pada Sesi Penggulungan di Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang di Georgetown, hari ini.

Terdahulu, Guan Eng dalam ucapan perasmian konvensyen itu berkata, DAP menyokong penuh Perlembagaan Persekutuan, sebagai sebahagian daripada konsep ‘Bina Negara’ oleh Pakatan Harapan (PH).

Katanya, parti pembangkang ketandusan modal politik sehingga sanggup memainkan sentimen agama dan perkauman.

"Itu parti yang tiada modal untuk bayar kakitangan awamnya mahu anjur demostrasi besar-besaran.

"Kita perlu hati-hati. Mereka tiada inisiatif untuk baiki ekonomi negeri mereka pun tetapi mahu main sentimen perkauman," katanya.

Jumaat lalu, Waytha Moorthy berkata, kerajaan masih tiada kata putus berhubung hasrat meratifikasi ICERD.

Katanya, kerajaan akan memulakan sesi rundingan dan libat urus dengan pelbagai pihak berhubung konvesyen berkenaan, bermula Januari hadapan.

ICERD mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin tertinggi PH, berikutan konvensyen itu didakwa akan menjejaskan kepentingan kaum Melayu dan Bumiputera di negara ini.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 5:49pm
d