mutakhir

Berang dituduh curi tabung adik

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

LELAKI naik hantu apabila mengugut mahu memukul ahli keluargnya dengan tukul selepas bengang dituduh mencuri tabung milik adiknya di Kampung Beladau Kepong, Kuala Terengganu, kelmarin.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 9 malam selepas lelaki berusia 35 tahun itu bertanya kepada abangnya, 37, berhubung kehilangan tabungnya yang mengandungi wang hampir RM500.

Menurut sumber, pertanyaan mangsa itu berlarutan hingga membawa kepada pertengkaran antara mereka dan suspek yang bekerja sendiri itu tidak berpuas hati dengan tuduhan itu kerana bukan dia sahaja berada di rumah.

Katanya, mangsa dikatakan bertanya berhubung kehilangan tabungnya itu kepada suspek selepas dia ternampak abangnya menyerahkan tabungnya kepada orang lain yang menunggu di luar rumah mereka.

"Mangsa yang ternampak kejadian itu membuat pemeriksaan sebelum mendapati tabung yang disorokkannya di dalam bilik sudah hilang.

"Suspek yang berkeras menafikan tuduhan itu mula bertindak agresif apabila mengambil tukul yang ada di dalam rumah selepas berterusan dipaksa mengaku mencuri tabung berkenaan.

"Suspek yang bagaikan dirasuk hantu bertindak mahu memukul mangsa dan ahli keluarga mereka yang lain," katanya.

Sumber berkata, susulan kejadian itu, satu laporan dibuat adik perempuan mereka berusia 33 tahun di Balai Polis Chabang Tiga kerana bimbang keselamatan mereka sekeluarga.

Katanya, suspek berjaya ditahan polis di rumah mereka kira-kira jam 3 petang semalam.

Sementara itu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff membenarkan suspek direman selama empat hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 6:07pm
d