mutakhir

'Mohon bantuan encik...'

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

“MOHON bantuan encik, saya rasa macam dah sesat ni.” Itu aduan diterima bomba daripada seorang lelaki yang memberitahu tersesat ketika menuruni Hutan Simpan Bukit Larut, di Taiping, hari ini.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Bomba Kanan II Mazli A Mutallib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada mangsa berusia 33 tahun pada 11.17 pagi.

Menurutnya, susulan itu, sepasukan anggota segera menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Mangsa yang bersendirian dikatakan mendaki bukit itu pada 8.30 pagi dan sewaktu menuruni bukit itu mangsa menyedari tersesat lalu menghubungi bomba.

“Operasi pencarian dimulakan pada jam 11.23 pagi dan mangsa ditemui pasukan SAR jam 1.40 tengah hari pada ketinggian 800 meter (m) dari aras laut dan kira-kira 500 m dari jalan berturap di bukit itu.

“Mangsa yang ditemui tanpa sebarang kecederaan, selamat dibawa turun ke kaki Bukit Larut dan operasi ditamatkan pada jam 3.44 petang,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan penceritaan mangsa, dia yang berasal dari Kuala Kangsar sudah biasa dengan trek itu.

Bagaimanapun, ketika turun dan tiba di satu persimpangan di bukit itu, mangsa dikatakan tersalah memilih laluan sebelum menyedari tersesat.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 6:32pm
d