mutakhir

Nasi lemak ubat rindu arwah isteri

Oleh Rosman Shamsudin

DALAM usia lebih 70 tahun, seorang lelaki warga emas sepatutnya menghabiskan usianya berehat di rumah atau bersama cucu, sebaliknya tetap bekerja menjual nasi lemak sebagai pengubat rindu pada arwah isterinya, dekat sini.

Mohd Lazim Sharad, 76, dan arwah isterinya, Sharifah Ulong berpindah ke pekan Slim River kira-kira 36 tahun lalu setelah mengambil keputusan berhenti kerja di sebuah kilang di Petaling Jaya, Selangor.

Sejak itu, pasangan berkenaan menjual nasi lemak di sebelah restoran Cina berdekatan Dewan Tan Sri Ghazali Jawi untuk mencari rezeki dan menyara tiga orang anaknya yang ketika itu masih bersekolah.

Mohd Lazim berkata, isterinya meninggal dunia ketika berusia 63 tahun tahun lalu, dan sebelum itu beliau sentiasa bersama isteri di dapur menyediakan bahan serta memasak nasi lemak.

“Pengalaman memasak nasi lemak bersama arwah digunakan sepenuhnya apabila arwah sudah tiada dan ketika memasak terkenang dia yang mengharungi suka duka bersama.

“Tentu orang pelik tengok saya pada usia begini tetap bekerja tetapi inilah cara saya untuk mengubat rindu yang teramat sangat pada arwah isteri.

“Selain itu, ia juga dapat mengelak rasa bosan tinggal di rumah seorang diri kerana semua anak di perantauan,” katanya yang menetap di Rumah Awam, dekat Slim River.

Beliau menjual nasi lemak berlauk ayam masak merah, sambal ikan bilis bersama sayur kacang buncis yang menjadi kegemaran penduduk di sini terutama kaum Cina yang menjadi pelanggan tetap beliau sehingga kini.

Mohd Lazim memulakan perniagaan nasi lemak dari jam 5 petang sehingga hasil jualannya habis setiap hari kecuali Ahad kerana hari berkenaan digunakan untuk meluangkan masa menziarahi pusara arwah isteri di Trolak.

Katanya, selagi sihat beliau akan terus berniaga nasi lemak dan bersyukur sehingga kini mampu bergerak serta bebas daripada sebarang penyakit menyebabkan beliau menjalani kehidupan dengan tenang di usia emas itu.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 6:54pm
d