mutakhir

Polis siasat insiden Vigneswaran di KLIA

Oleh Hasbi Sidek

POLIS sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan Yang Dipertua Dewan Negara, Senator Tan Sri S A Vigneswaran melanggar peraturan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 14 November lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

“Siasatan sedang dijalankan. Kami siasat di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pengurusan KLIA sudah membuat laporan polis malam semalam.

Katanya, kementerian menunggu laporan penuh daripada pihak berkenaan.

Dalam kejadian jam 10.40 malam itu, Presiden MIC itu dihalang anggota keselamatan yang bertugas di laluan kenamaan kerana tidak mematuhi kod berpakaian yang sesuai dengan memakai sandal dan tanpa menjalani pemeriksaan badan.

Selepas tidak dibenarkan masuk ke Bilik VVIP, petugas tidak memberikannya pas keselamatan namun beliau tetap masuk selain tidak melalui prosedur pemeriksaan badan.

Bagaimanapun, Vigneswaran menafikan beliau melanggar protokol keselamatan dan kod etika pakaian ketika menggunakan lorong VIP di KLIA, malah sudah cuba menghubungi Siew Fook bagi memberi penjelasan.

Disiarkan pada: November 18, 2018 @ 9:51pm
d