mutakhir

Tragedi 'u-turn'

Oleh Zuliaty Zulkiffli

LELAKI maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan kereta di hadapan stesen minyak di Jalan Kodiang, dekat Jitra, semalam.

Dalam kejadian 5.50 petang itu, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu wanita dari arah Kodiang menghala ke Jitra membuat pusingan U di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, ketika itu motosikal yang ditunggangi mangsa datang dari arah Jitra menghala ke Kodiang.

“Kereta terbabit membuat pusingan U dan masuk ke sebelah jalan menghala ke Kodiang menyebabkan motosikal tidak sempat mengelak dan merempuh pada bahagian kiri bucu belakang kereta itu.

“Pada masa sama, penunggang motosikal terbabit, cuba mengawal motosikalnya sehingga sejauh 100 meter, namun terjatuh ke dalam longkang di sebelah kiri.

“Berikutan itu, mangsa Yusof Othman, 37, yang berasal dari Kuah, Langkawi meninggal dunia sejurus jatuh ke dalam longkang berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Ismail berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat, manakala pemandu kereta berusia 45 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, Yusof bekerja di Kilang Permintex Sdn Bhd di Bandar Darul Aman, di Jitra.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 9:01am
d