mutakhir

Pemandu langgar orang sedang makan ditahan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SUSPEK kes langgar lari di Taman Equine, Seri Kembangan, Serdang, semalam ditahan polis pada 1.43 pagi hari ini.

Dalam kejadian 8.08 malam itu, seorang wanita maut, manakala empat lagi parah selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda ketika sedang makan di restoran di Taman Equine, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menahan lelaki terbabit yang berasal dari Sarawak selepas majikannya menyerahkan suspek kepada pihak polis.

“Kenderaan itu adalah milik majikan suspek. Kami kesan pemilik sebelum dia menyerahkan suspek kepada pihak polis.

“Hasil ujian awal saringan air kencing dilakukan terhadap suspek didapati negatif dadah. Bagaimanapun, suspek dipercayai mabuk ketika kejadian dan sampel darah suspek diambil bagi ujian alkohol,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ismadi berkata, semakan mendapati lelaki terbabit tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

“Berdasarkan soal siasat awal, suspek mengaku terbabit dalam kejadian itu.

“Reman terhadap suspek akan dilakukan pagi ini di Mahkamah Petaling Jaya 10 pagi,” katanya.

Sebelum itu, kenderaan pacuan empat roda dipandu suspek ditemui ditinggalkan di Taman Universiti Indah, Seri Kembangan, di sini, 11 malam tadi.

Berita berkaitan

Maut dirempuh ketika makan

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 9:31am
d