mutakhir

Anwar kecewa Baru tak hadir kongres

Oleh Dawn Chan

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kecewa dengan tindakan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sarawak, Baru Bian berikutan gagal menghadiri Kongres Nasional PKR Ke-13 selama tiga hari yang berakhir petang semalam.

Ditanya pada sidang media selepas penangguhan kongres berkenaan, beliau berkata, Baru tidak memberikan sebarang alasan untuk tujuan itu.

“Baru Bian, tidak ada alasan. Sebab itu saya sebutkan tadi. Saya katakan bahawa ada menteri yang tidak hadir,” katanya.

Anwar berkata, dua lagi pemimpin iaitu Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar, tidak dapat menghadiri kongres berkenaan kerana berada di luar negara atas urusan rasmi.

Katanya, Saifuddin kini berada di Papua New Guinea mengiringi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam lawatan kerja dua hari.

“Sudah tentu kami berikan beliau kebenaran kerana beliau mengiringi Perdana Menteri di Papua New Guinea.

“Xavier berada di Mesir kerana beliau mempengerusikan mesyuarat pada satu sidang antarabangsa,” katanya.

Terdahulu ketika ucapan penggulungan, Anwar menegaskan tidak akan bertolak ansur dengan semua pihak serta kemalasan dalam kepimpinan parti berkenaan.

Katanya, atas sebab itu menyebabkan beliau menegur mana-mana menteri dan pemimpin yang tidak menghadiri Kongres Nasional PKR Ke-13 itu, tanpa mempedulikan apa juga jawatan mereka.

Beliau berkata, pemimpin berkenaan sepatutnya mementingkan perjumpaan dan kongres parti.

Katanya, melainkan mereka mendapat kebenaran khas seperti Saifuddin dan Xavier, pemimpin parti sepatutnya menghadiri program dan kongres parti.

“Tapi ada menteri yang tidak hadir. Pemimpin lain yang tak spiritual.

“Saya beritahu mereka. Mereka diangkat kerana sokong rakyat. Mereka diangkat kerana sokongan ahli dan tidak boleh apa juga alasan untuk meremehkan kedudukan dan kepentingan parti. Saya nak beri ingatan, baiki keadaan sekarang kalau tidak saya tidak akan tolak ansur dengan siapa pun.

“Ini yang saya maksudkan dengan the ‘new spirit’ dalam Keadilan,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 12:28pm
d