mutakhir

'Kenderaan dipandu ke kiri ke kanan'

Oleh Hasbi Sidek

KENDERAAN yang melanggar pelanggan restoran di Jalan Equine 9B, Taman Equine, dekat Serdang, kira-kira 8 malam tadi, yang menyebabkan seorang wanita maut, dipandu secara melulu.

Pekerja restoran warga Nepal yang mahu dikenali sebagai Sujan, 37, berkata, dia ternampak kenderaan pacuan empat roda berkenaan dipandu ke kiri dan ke kanan seolah-olah pemandunya dibawah pengaruh alkohol.

“Ketika kejadian, saya sedang mengemas meja yang diletakkan di hadapan restoran sebelum terdengar bunyi sesuatu dilanggar lalu memandang ke belakang dan kereta itu sedang menghala ke arah saya.

“Saya kemudiannya berlari untuk menyelamatkan diri dan ada seorang daripada pelanggan yang terkejut melarikan diri menyebabkan dia terjatuh ke dalam longkang,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, malam tadi.

Dia berkata, kereta itu kemudiannya melanggar gerai buah dan merempuh sebuah kenderaan lain sebelum meneruskan perjalanan.

Dalam kejadian itu, seorang wanita, Wong Sow Lin, 57, maut di lokasi kejadian akibat dirempuh kenderaan berkenaan ketika sedang menjamu selera di luar restoran bersama kakak dan dua anak saudaranya.

Manakala empat lagi mangsa lain yang dilanggar, cedera sebelum dihantar ke Hospital Serdang untuk menerima rawatan.

Adik kepada Sow Lin yang mahu dikenali sebagai Ng berkata, kakaknya keluar bersama tiga lagi adik-beradiknya pada 7 petang sebelum dua daripada mereka pulang, manakala dua lagi kakaknya makan di restoran berkenaan.

“Saya menerima panggilan daripada kakak yang turut sama dilanggar dan cedera memaklumkan Sow Lin tidak sedarkan diri. Saya sangat terkejut dan bergegas ke sini (lokasi kejadian).

“Meja makan dibuka di luar restoran di kawasan letak kenderaan. Keadaan seperti ini membahayakan pelanggan dan saya berharap ada pihak yang perlu tampil memperjelaskan perkara ini selain perlu bertanggungjawab atas kematian kakak saya,” katanya.

Berita berkaitan

Maut dirempuh ketika makan

Pemandu langgar orang sedang makan ditahan

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 1:05pm
d