mutakhir

Ahmad Zahid khianati BN - Ka Siong

Oleh Ahmad Suhael Adnan

TINDAKAN Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempelawa PAS untuk bergabung dengan parti itu, disifatkan sebagai satu pengkhianatan terhadap Barisan Nasional (BN).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata Ahmad Zahid tidak menghormati parti komponen BN yang kerap kali membangkitkan bantahan terhadap pembabitan PAS secara langsung bersama gabungan itu.

“Sudah berulang kali kami nyatakan nilai teras dan ideologi kita dengan PAS tidak sama, jadi tolonglah hormat MCA dan parti komponen lain dalam BN.

“Memanglah UMNO bebas untuk buat apa saja yang mereka mahu, tapi pada masa sama, kamu masih sebahagian daripada BN dan sepatutnya menjaga perasaan parti komponen.

“Semangat kerjasama dalam BN perlu diangkat. Tetapi kamu (Ahmad Zahid) sebagai ketua, kamu telah mengkhianati semangat BN apabila membuat pelawaan itu,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan Ahmad Zahid secara terbuka mengajak Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk kedua-dua parti itu bergabung dalam satu ceramah di Kampung Gajah, Perak.

Bagaimanapun, Abdul Hadi dalam ceramahnya selepas itu tidak menyentuh mengenai pelawaan Ahmad Zahid itu.

Ka Siong berkata, beliau sedih melihat ‘penolakan’ daripada Abdul Hadi itu hingga menyebabkan pelawaan Ahmad Zahid menjadi bahan gelak ketawa.

“Semangat BN adalah kerjasama dengan pelbagai kaum. Sekarang ini seperti golongan bukan Islam tidak penting lagi, jadi apa gunanya bercakap soal gabungan ini (BN) lagi?

“Nilai masyarakat Malaysia adalah kepelbagaian kaum, kita tidak mahu hanya satu agama. Naratif itu tidak pernah berkesan di negara ini sejak lebih 60 tahun lalu,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 3:45pm
d