mutakhir

Balasan tetak orang guna pedang samurai

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

PEMANDU lori dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini kerana menetak tangan seorang lelaki menggunakan pedang samurai hingga menyebabkan mangsa mengalami kecacatan kekal.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas tertuduh, Jafmi Mohd, 32, dari Besut didapati bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa, Anudin Abdul Ghani, 41, menggunakan sebilah pedang samurai di hadapan kedai di Bandar Ketengah Jaya, Dungun, pada 1 tengah hari 14 Disember 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Syazwani Zawawi manakala tertuduh diwakili peguam, Che Amir Che Musa dan Mohd Hayyatuddin Muhamad.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang membawa sebilah pedang samurai menyerang mangsa yang sedang makan di kedai berkenaan.

Sebaik ternampak kelibat mangsa, tertuduh terus menetak tangan lelaki terbabit namun mangsa sempat menahannya menggunakan kerusi sehingga kerusi itu patah.

Bagaimanapun, tertuduh terus menyerang mangsa tanpa menghiraukan orang awam yang berada di lokasi kejadian sehingga berlaku pergelutan antara mereka sebelum mangsa berjaya melarikan diri.

Dalam pergelutan itu, tertuduh sempat menetak tangan mangsa sehingga menyebabkan urat tangannya putus dan tulang disahkan patah.

Akibat kejadian itu, mangsa disahkan mengalami kecacatan kekal dan doktor turut mengesahkan tangannya tidak boleh berfungsi selain mengalami trauma teruk setiap kali melihat luka pada tangannya.

Tertuduh memberi alasan berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan mangsa yang kononnya memukul adiknya sehingga koma.

Bagaimanapun, tertuduh yang mahu membalas dendam terhadap mangsa gagal membuktikan kejadian gaduh itu selain tidak melaporkan kejadian kepada pihak polis.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 6:07pm
d