mutakhir

Segera baiki sekolah uzur

Oleh Rosli Ilham

BANGUNAN sekolah di Terengganu terutama tiga sekolah yang memerlukan tindakan segera akan dibawa kepada perhatian Menteri Pendidikan supaya langkah membaikinya dapat dilakukan secepat mungkin.

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Mohd Hasbie Muda berkata, tiga sekolah uzur itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Kerteh Satu di Dungun, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cheneh Baru di Kemaman dan SMK Bukit Sawa di Marang.

“Dalam lawatan dilakukan bersama Timbalan Menteri, Datuk Raja Kamarul Bahrin, kami dapati banyak sekolah di negeri ini perlu diperbaiki dan saya pohon tiga sekolah itu perlu diambil tindakan segera,” katanya ketika merasmikan Hari Anugerah Cemerlang SK Sultan Omar, Dungun, hari ini.

Hasbie yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Terengganu berkata, SK Felda Kerteh Satu dalam keadaan membahayakan dengan atap uzur yang boleh menimpa murid pada bila-bila masa.

Beliau berkata, keadaan SMK Cheneh Baru termasuk kantinnya sangat uzur dan SMK Bukit Sawa dewannya kecil sehingga sebahagian pelajar perlu duduk di luar sewaktu perhimpunan mingguan.

“Masalah yang berlaku terhadap semua sekolah terbabit sudah dibawa Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) kepada Kementerian Pendidikan untuk tindakan pembaikian.

“Oleh itu kita minta kepada Kerajaan Pusat agar segerakan pembaikian sekolah uzur dahulu.

“Kalau keadaan bangunan rosak sebegitu, bagaimana pelajar dan guru dapat memberi tumpuan belajar dan mengajar,” katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2018 @ 6:16pm
d